Thanx for visiting my blog (*_*)

Come again

Sunday, October 23, 2011

N9futbol mahu FAM tukar stadium final

      KELAB e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9futbol), berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih stadium yang lebih sesuai bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dengan Terengganu, Sabtu ini.
Timbalan Presidennya, Mohd Faidzul Mohd Noh, berkata stadium Shah Alam yang dipilih bagi perlawanan itu tidak sesuai kerana keadaan padangnya didapati rosak bagi suatu perlawanan yang penting merebut piala berprestij itu.

       Menurutnya, pihaknya berharap FAM dapat membuat keputusan terbaik mengenai pemilihan gelanggang bagi membolehkan kedua-dua pasukan dapat mempamerkan persembahan bermutu dan menghiburkan.
“Kami tidak meminta perlawanan itu diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi tapi ada baiknya di padang yang berkecuali dan ia terpulang kepada FAM dalam menentukan yang terbaik buat kedua-dua pasukan.

       “Namun diharapkan pemilihan itu turut mengambil kira kemudahan bagi penyokong kedua-dua pasukan untuk datang memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka,” katanya di Seremban, semalam.

Azraai yakin muncul juara

      MENGHADAPI pasukan mantap dan berwibawa Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini, tidak memberi tekanan buat Negeri Sembilan, tegas ketua jurulatih skuad itu, Azraai Khor Abdullah.
Menurutnya, ini berdasarkan pengalaman dan rekod pertemuan dengan pasukan itu pada peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini, apabila Negeri Sembilan menang tipis 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi manakala seri tanpa jaringan ketika bertandang ke Kuala Terengganu.

       “Saya akui Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim lebih mantap kerana membariskan ramai pemain berpengalaman dan lincah terutama barisan penyerang mereka yang menggandingkan pemain kebangsaan Abdul Manaf Mamat dan Ashari Shamsuddin.
“Bagaimanapun, ia tidak akan memberi tekanan kepada Negeri Sembilan, sebaliknya kami akan membuat persiapan rapi dalam menghadapi pertemuan genting itu, untuk memastikan Negeri Sembilan berupaya mengimbangi kekuatan lawan dan akhirnya berjaya menjulang Piala Malaysia musim ini,” katanya.

       Beliau ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua di Paroi, malam kelmarin, yang berkesudahan mengatasi T-Team 2-1 untuk layak menerusi agregat 6-3, sekali gus mengesahkan tempat ke final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

       Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 45,000 penonton kelmarin, T-Team terlebih dulu membuka jaringan menerusi Fitri Omar pada minit ke-72, bagaimanapun Shahurain Abu Samah dan Shukor Adan melakar dua gol pada minit ke-74 dan 84.

Azraai yakin skuad bimbingannya mampu melakar sejarah menjulang trofi kejuaraan yang menjadi rebutan setiap pasukan itu berdasarkan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan pemain skuad Hoben Jang Hoben sepanjang kempen musim ini.

       “Walaupun prestasi pasukan terumbang-ambing pada awal saingan angkara masalah kecederaan pemain apabila sekadar berada di tangga kelapan dalam saingan Liga Super selain gagal mempertahankan Piala FA, namun pemain berjaya mempamerkan kebangkitan, hingga berjaya melayakkan diri ke final buat kali ketiga berturut-turut.
“Kejayaan ini bukan satu keputusan biasa atau sekadar nasib tapi hasil semangat juang dan komitmen tinggi setiap pemain yang membuktikan kemampuan masing-masing untuk menjulang nama pasukan.

Penyu makin garang

      GERGASI Pantai Timur, Terengganu semakin bersemangat untuk memburu kejuaraan kali kedua dalam kancah Piala Malaysia apabila mengesahkan kemaraan ke final untuk bertemu Negeri Sembilan di Shah Alam, Sabtu ini.
Juara Piala FA itu yang berjaya membawa pulang trofi berprestij itu buat kali pertama pada 2001 ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris sudah pasti mengidam koleksi kemenangan kedua kerana sudah sedekad menanti untuk beraksi di pentas final.

       Kapten Terengganu, Marzuki Yusof berkata, selepas berjaya meleburkan Misi 33 Selangor, semangatnya dan rakan sepasukan kian membara untuk mencatat kemenangan berganda selepas mendakap Piala FA, Jun lalu, selain muncul naib juara Liga Super.
“Jika dihitung, tempoh 10 tahun terlalu lama untuk kami melangkah semula ke final, jadi dengan peluang keemasan yang hadir ini, saya dan rakan sepasukan bertekad untuk membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

       Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berjaya melebur impian Selangor menerusi kemenangan 2-1 sekali gus layak menerusi agregat 4-1.

       Abdul Manaf Mamat dan Ashari Samsuddin sekali lagi membuktikan sentuhan mereka berbisa apabila masing-masing menghasilkan satu jaringan untuk meletakkan pasukan ke final sebelum pelawat merapatkan kedudukan hasil jaringan Safiq Rahim.

Sementara itu, Irfan Bakti berkata, beliau sudah menjangkakan pertemuan itu sengit kerana lawan sudah pasti mahu memadam kekurangan dua jaringan di Stadium Shah Alam pada peringkat separuh akhir pertama, Selasa lalu.

      “Saya amat bangga dengan komitmen pemain kerana berjaya melaksanakan arahan taktikal dengan berkesan untuk menyekat hajat Selangor.
“Memang kami sudah agak selesa dengan kelebihan dua jaringan, namun semangat membara pemain untuk ke final perlu diberi pujian,” katanya.

       Berdasarkan rekod, Terengganu mara ke final piala berprestij itu sebanyak empat kali pada 1973, 1982, 1998 dan hanya pada 2001, mereka berjaya merangkul gelaran juara selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak.

       Sementara itu, jurulatih Selangor, P Maniam mengakui Terengganu berhak mara ke final berdasarkan prestasi yang dipamerkan pasukan itu sepanjang saingan separuh akhir.

Saturday, October 22, 2011

Membudayakan corak permainan positif




      GAYA permainan bola sepak yang positif serta mampu memukau penonton harus diberi penekanan oleh semua pasukan dalam saingan liga tempatan.

      Mana-mana pasukan sekali pun apatah lagi yang bertanding pada kancah kejohanan peringkat nasional perlu mengamalkan corak permainan positif dan bergerak secara aktif.

      Boleh dikatakan, setakat ini, corak permainan bola sepak yang boleh dianggap positif ialah perlawanan antara Terengganu dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada 14 Oktober lalu.

      Sepanjang perlawanan itu, tidak kelihatan aksi pe- main kedua-dua pasukan curi tulang, sebaliknya mereka bergerak secara aktif sama ada ketika melakukan asakan mahupun ketika mengekang asakan lawan.

      Hakikat berkenaan dipersetuju pengulas sukan yang juga bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar yang bertindak sebagai seorang daripada panel bual bicara siaran langsung yang dikelolakan oleh Astro Arena baru-baru ini.

      Beliau yang merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan mengatakan bahawa aksi keduadua pasukan, khususnya pada separuh masa pertama membuktikan yang bola sepak negara kita mampu mengamalkan permainan bercorak positif.

      Suatu ketika dahulu, kita dapati dalam tempoh yang agak lama kebanyakan stadium bola sepak di negara ini kurang dikunjungi penonton.

      Antara faktor ketidakhadiran penonton pada sesuatu perlawanan ialah mereka bosan melihat corak permainan kebanyakan pasukan yang boleh disifatkan seba- gai negatif.

      Pemain lebih banyak berjalan daripada berlari dan kawalan bola pula lemah seolah-olah mereka tidak menguasai kemahiran asas dalam permainan sukan tersebut.

      Penonton membuat perbandingan antara corak permainan pasukan-pasukan di negara ini dengan corak permainan pasukan- pasukan dalam liga negara luar, khususnya Liga Perdana England.

      Dalam hal ini, gerakan yang menghasilkan dua gol pasukan ‘Peteh’ pada perlawanan di Kota Bharu, 14 Oktober lalu itu boleh dianggap sebagai antara gerakan yang berkualiti dan patut dicontohi para pemain.

      Kedua-dua gol itu diilhamkan oleh Abdul Hadi Yahya yang kemu- diannya dapat dihidu oleh Ashaari Shamsuddin.

      Dia dengan bijak memperdayakan penjaga gol No. 1 negara kita iaitu Mohd. Khairul Fahmi Che Mat tanpa sebarang perasaan gugup.

      Satu kunci kejayaan itu ialah wujudnya persefahaman dalam pasukan Terengganu.
Sebagai seorang jurulatih, Irfan Bakti berjaya membentuk trio serangan yang genius dalam pasukannya.

      Ashaari Shamsuddin, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya seolah-olah berkongsi deria dalam menjana serangan dan tahu apa kehendak antara satu dengan yang lain.

      Irfan turut berhasil membentuk jentera tengah yang berkualiti dengan menempatkan Joseph Kalang Tie sebagai penguasa gerakan serta berhasil memupuk keya- kinan tinggi dalam kalangan pemain pertahanan dan penjaga gawang.

      Secara keseluruhan, corak permainan positif turut dibentuk oleh kemantapan psikologi dan hal itulah yang berhasil menenggelamkan sorakan puluhan ribu penonton berbaju merah.
Walaupun bagaimanapun, masih terdapat perkara yang perlu diberi perhatian oleh Irfan, ter-
 utamanya ke atas barisan pemain simpanan.

      Selepas Joseph Kalang Tie dikeluarkan, jentera tengah Terengganu mula goyah kerana penggantinya tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

      Penyerang simpanannya iaitu Mohd. Zhariff Hasna yang masuk pada penghujung saingan juga  kelihatan gugup dan kurang keyaki- nan diri.

      Dia menghampakan penyokong Terengganu apabila gagal meletakkan bola ke dalam gawang walaupun cuma berdepan dengan Mohd. Khairul Fahmi Che Mat.

      Bagi pasukan Selangor pula, ketiadaan Mohd. Safee Sali pada musim ini menumpulkan jentera serangan.

      Mereka masih memperlihatkan kualiti sebagai pasukan yang disegani, namun ketika pasukan lain mula meningkatkan usaha menerapkan corak permainan berkualiti, Selangor sepatutnya lebih bersedia.

      Termasuk dalam takrif corak permainan positif ialah mengelakkan amalan membuang masa, tidak meraikan kejayaan secara yang berlebih-lebihan, dan beraksi setelah pengadil meniup wisel menghentikan permainan.

      Penjaga gol Negeri Sembilan dikenakan hukuman amaran bertulis (kad kuning) apabila didakwa sengaja melambat-lambatkan permainan pada penghujung saingan di Kuala Terengganu.



      Perkara itu menjejaskan kewibawaannya sebagai pemain kebangsaan yang sudah tentu banyak pengalaman.

      Di Kota Bharu pada 14 Oktober lalu, Abdul Hadi Yahya menerima kad kuning setelah didapati sengaja menyepak bola, sedangkan pengadil telah meniup wisel menghentikan permainan kerana ada pemain ofsaid.

      Pemerolehan kad kuning atas kesalahan yang sedemikian itu sesungguhnya sangatlah merugikan pasukan.

      Kes pemain dilayangkan kad kuning kerana memecat jersi dan berlari di luar padang kerana meraikan jaringan juga bukan suatu perkara asing dalam kancah bola sepak kita.

      Insiden mencekik leher pemain pasukan lawan setelah dijatuhkan pemain berkenaan juga berlaku di   Kota Bharu baru-baru ini.

      Walaupun tidak dikenakan kad kuning, namun insiden seumpama itu bukanlah amalan yang positif ketika kita bercakap soal meningkatkan kualiti bola sepak negara.

      Semua ini perlulah dilihat dengan penuh bijaksana dan dielakkan oleh pemain jika mahu melangkah lebih jauh.

      Amalan yang positif sama ada yang telah dinyatakan atau yang tidak sempat dinyatakan dalam diskusi ini perlu diperkasakan mulai sekarang.

      Semua pihak bertanggungjawab melaksanakannya tidak kira siapa – pemain, pegawai, penonton, penyokong, pemerhati dan pengulas sukan.

      Kepada pemain, contohilah kesungguhan Abdul Manaf Mamat menjaringkan gol sebagaimana yang dilakukannya pada minit kedua aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia di Shah Alam baru-baru ini.

Sungguhpun ada pengulas menganggap jaringan tersebut pelik tetapi ia sebenarnya unik.

Tenaga 'Penyu' jadi sandaran




      NAMPAK gayanya, pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengharapkan sentuhan 'Sang Penyu' apabila majoriti 26 pemain yang dipanggil men- jalani latihan menjelang perlawanan antarabangsa menentang India bulan depan terdiri daripada pemain pasukan Terengganu.

      Tujuh pemain tersebut - Abdul Hadi Yahaya, Mazlizam Mohamad, Mohamad Ashaari Samsudin, Mohd. Faizal Muhamad, Mohd. Sharbinee Allawee, Joseph Kalang Tie termasuk penjaring gol 'pelik bin ajaib', Abdul Manaf Mamat - merupakan antara wajah-wajah yang diberikan kepercayaan kali ini.

      Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan lantaran kecemerlangan kesemua pemain itu membantu Terengganu yang kini berada di landasan terbaik untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia apabila mendahului secara agregat 2-0 ke atas Selangor ketika ini.

      Dalam masa sama, kehadiran semula 'arkitek' berbakat, Safiq Rahim dari Sela- ngor yang sebelum ini 'tercicir' ke Australia, juga kembali dipilih bersama dua rakan sepasukannya iaitu Bunyamin Umar dan Nasriq Baharom serta penjaga gol pin- jaman dari Universiti Sains Malaysia, G. Jeevananthan.

      Penjaga gol kental Sang Rusa, Mohd. Farizal Marlias juga tersenarai kali ini dan dijangka bersaing hebat bersama Jeevananthan dan Sharbinee bagi merebut jersi No. 1 negara lantaran ketiadaan 'Hero Malaya', Khairul Fahmi Che Mat yang akan berjuang bersama Harimau Muda pada te- masya Sukan SEA di Jakarta kelak.

      Antara yang menjadi pilihan Rajagobal berdasarkan prestasi cemerlang bersama pasukan masing-masing pada edisi Piala Malaysia kali ini termasuklah tonggak Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.

      Penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali juga antara muka-muka lama yang masih mendapat kepercayaan Rajagobal bersama Izzaq Farris Ramlan, Amar Rohidan, Mohd. Azmi Muslim dan S. Chanturu.

      Tonggak Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong dan dua tonggak Kelantan, Muhammad Ab Aziz Ismail dan Mohd. Rizal Fahmi Ab. Rosid juga masih diberikan peluang walaupun gagal membantu pasukan masing-masing layak lebih jauh pada saingan Piala Malaysia kali ini.

      Rajagobal juga dilihat melakukan sedikit kejutan apabila menyenaraikan tonggak Universiti Teknologi Mara, Amir Ridzwan Taj Tajudin untuk menjalani ujian pada kali ini.

      Ternyata, hanya yang terbaik sahaja menjadi pilihan Rajagobal bagi membentuk pasukan yang mantap ketika menentang India kelak, lantaran kekecewaan dibelasah 0-5 oleh Socceroos awal bulan lalu masih lagi terasa.

      Begitupun, penyerang sayap berbisa Selangor, Amirulhadi Zainal dilihat masih ga- gal menebus tempatnya dalam skuad kebangsaan apabila tidak disenaraikan walaupun kembali mempamerkan aksi cemerlang bersama Gergasi Merah setakat ini.

      Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataannya memberitahu, kesemua 26 pelatih terbabit dikehendaki mela- porkan diri di Wisma FAM pukul 10 pagi pada 1 November depan.

      Menurut kenyataan itu, para pemain akan menjalani latihan selama tiga hari di Pulau Langkawi, Kedah sebelum kembali menjalani latihan pusat di Wisma FAM se- lama seminggu selepas itu.

      Pasukan Harimau Malaya dijadualkan bertemu India di negara itu antara 10 hingga 17 November depan, waktu yang lebih kurang sama semasa 'adik' mereka, Harimau Muda berjuang di bumi Indonesia bagi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Laos dua tahun lalu.

Terengganu, N.Sembilan ke final

  



  
      TERENGGANU dan Negeri Sembilan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 selepas meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua malam tadi.
Negeri Sembilan yang melayan kunjungan T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menang 2-1 sekali gus mara dengan agregat 6-3.

      Pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini, Negeri Sembilan menang 4-2.
Terengganu pula mara dengan agregat 4-1 selepas membenam Selangor 2-1 pada aksi kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

      Pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Isnin lalu, gergasi Pantai Timur itu melakar kemenangan 2-0 sekali gus memusnahkan ‘Misi 33’ skuad bimbingan P. Maniam itu.
Final Piala Malaysia 2011 akan berlangsung pada 29 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Anda juga mungkin meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...